KEPALA BATAS, 6 September- Pusat Sehenti Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menempatkan semua perkhidmatan utama kementerian di bawah satu bumbung akan diperluas ke seluruh negara pada akhir tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pusat itu adalah bagi memudah cara penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh KESUMA kepada pekerja, majikan dan kesatuan tanpa perlu berulang-alik ke pelbagai lokasi.
Beliau berkata, empat Pusat Sehenti Tenaga Kerja KESUMA telah diwujudkan secara rintis iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
“Setakat ini, sambutan agak baik tetapi kita biarkan ia matang dahulu hingga hujung tahun ini kita akan perhatikan.
Kalau dah mantap operasi pusat tenaga kerja maka kita akan perluaskan ke negeri lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini.
Antara agensi yang terlibat dalam pusat sehenti berkenaan ialah Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Jabatan Tenaga Manusia, Mahkamah Perusahaan Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara serta Talent Corporation Malaysia Berhad.
Dalam perkembangan lain, Sim memaklumkan, kerajaan kini berada di peringkat merangka Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Langkah itu bagi membolehkan golongan pekerja menikmati perlindungan insurans 24 jam.
Sekali gus memberi perlindungan menyeluruh termasuk di rumah atau di luar tempat bekerja.