fb fb fb fb fb

Pusat Falak Sheikh Tahir perkenal galeri pameran digital

Seiring dengan perkembangan teknologi, Pusat Falak Sheikh Tahir (PFST), Pulau Pinang kini memperkenalkan konsep digital dalam pameran astronominya bagi menarik minat masyarakat, khususnya golongan belia / Foto FB PFST

BALIK PULAU, 1 Mac – Seiring dengan perkembangan teknologi, Pusat Falak Sheikh Tahir (PFST) Pulau Pinang kini memperkenalkan konsep digital dalam pameran astronominya bagi menarik minat masyarakat, khususnya golongan belia, dalam mendalami ilmu astronomi Islam.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata inisiatif itu selari dengan perancangan kerajaan negeri dalam mengangkat industri pelancongan astronomi ke peringkat global, sekali gus memartabatkan ilmu falak kepada masyarakat.

“Kita mewujudkan galeri pameran secara digital bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat astronomi Islam dengan lebih interaktif. Dari semasa ke semasa, fasiliti di pusat ini akan dinaik taraf bagi menambah baik pengalaman pameran.

“Kita juga menawarkan program Sijil Profesional Falak yang akan digabungkan dengan pusat ini untuk menjadikannya sebagai destinasi pelancongan astronomi atau ‘Astro Tourism’ di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Galeri Pameran Digital PFST, di sini.

PFST merupakan antara pusat cerapan dan pengembangan ilmu astronomi Islam terawal di Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1991.

Pusat tersebut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pameran digital, sudut penerokaan angkasa serta pengalaman pencerapan bagi memberi pendedahan lebih luas kepada pengunjung.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN