
SEGAMAT, 5 Julai – Kerajaan Persekutuan komited menyediakan rumah mampu milik untuk penjawat awam di negeri ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Inisiatif ini sebahagian usaha menjaga kebajikan penjawat awam susulan kenaikan harga hartanah.
- Kerajaan bercadang memanfaatkan tanah agensi kerajaan yang tidak digunakan secara optimum untuk projek perumahan mampu milik.
- Tanah Kastam, Imigresen dan sekolah akan diperuntukkan bagi membina rumah kos rendah untuk penjawat awam.
- Sebanyak 1,700 unit rumah mampu milik kos rendah diluluskan di Johor; pelaksanaan projek sedang berjalan di beberapa negeri.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi menjaga kebajikan penjawat awam susulan peningkatan harga hartanah semasa.
Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan bercadang memanfaatkan tanah milik agensi kerajaan yang tidak digunakan secara optimum untuk membangunkan projek perumahan mampu milik.
“Rumah kerajaan tak buat baru, yang sedia ada pun banyak yang sudah lama dan buruk. Kita perlu fikir apa yang boleh dilakukan.
“Tanah Kastam, tanah Imigresen, tanah sekolah kalau lebih, kita buat rumah yang kos murah, sekurang-kurangnya untuk penjawat awam,” kata beliau ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kg Jawa pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH)berkata, sebanyak 1,700 unit rumah mampu milik kos rendah telah diluluskan di Johor bagi membantu mengurangkan beban penjawat awam memiliki kediaman.
Katanya, pelaksanaan projek perumahan itu kini sedang berjalan dan telah dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Johor.