
STRASBOURG, 6 Julai – Barang kemas bernilai jutaan euro dilarikan dari muzium pengeluar kaca mewah Perancis, Lalique dalam rompakan pada awal pagi Ahad, hanya beberapa bulan selepas kejadian rompakan permata di Muzium Louvre di Paris.
- Sekumpulan pencuri bertopeng memecah masuk sekitar 5:30 pagi dan memecahkan enam bekas kaca pameran.
- Kira-kira 20 barang kemas kristal dilaporkan dicuri; barang tanpa batu permata dan tidak boleh dileburkan.
- Penggera berbunyi, pekerja pembersihan hubungi polis; muzium ditutup beberapa hari dan rakaman CCTV sedang diperiksa.
Sekumpulan pencuri bertopeng memecah masuk ke muzium di Wingen-sur-Moder di timur laut Perancis kira-kira 5:30 pagi (0330 GMT) sebelum memecahkan enam bekas kaca pameran, menurut sumber terlibat dengan siasatan kepada AFP.
“Kira-kira 20 barang kemas dilaporkan dicuri dengan kerugian masih dalam penilaian tetapi dianggarkan mencecah hampir 4 juta euro,” kata sumber berkenaan.
Sumber lain pula memberitahu bahawa barang yang dicuri ialah barang kemas kristal tanpa batu permata berharga serta tidak boleh dileburkan.
Muzium itu menerusi di laman web rasminya memaklumkan, premis berkenaan akan ditutup selama beberapa hari susulan insiden pecah masuk tersebut.
“Penggera berbunyi, namun ketika syarikat keselamatan selesai membuat semakan, seorang pekerja pembersihan adalah individu pertama yang tiba di lokasi dan segera menghubungi polis,” kata sumber siasatan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini sedang diperiksa oleh pihak berkuasa.
Muzium yang didedikasikan kepada tukang emas dan pengeluar kaca gaya Art Nouveau dan Art Deco, René Lalique, dibuka pada 2011 berhampiran kilang syarikat tersebut.
Ia menempatkan lebih 650 “karya luar biasa” termasuk barang kemas Art Nouveau, kaca Art Deco dan kristal kontemporari, menurut laman web muzium itu. – AFP