
RAMALLAH, 6 Julai – Tentera Israel menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dalam kejadian kedua dalam tempoh seminggu di Tebing Barat pada Ahad.
- Dua remaja lelaki berusia 14 tahun cedera dalam insiden di kem pelarian Qalandia.
- Dua kanak-kanak mengalami kecederaan di bahagian bawah badan akibat ditembak.
- Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza bermula Oktober 2023.
- AFP: sekurang-kurangnya 1,087 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat termasuk pejuang dan orang awam akibat tindakan ganas tentera atau peneroka haram Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, dua lagi remaja lelaki, masing-masing berusia 14 tahun cedera dalam insiden yang berlaku di kem pelarian Qalandia berhampiran Ramallah.
“Waleed Nidal Waleed Abu Sneineh, berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia akibat tembakan tentera rejim Zionis,” menurut kementerian.
“Dua lagi kanak-kanak turut disahkan mengalami kecederaan di bahagian bawah badan akibat ditembak.”
Sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967 semakin meningkat.
Menurut statistik AFP berdasarkan data Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 1,087 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, termasuk pejuang dan orang awam akibat tindakan ganas tentera atau peneroka haram Israel. – AFP