
GEORGETOWN, 3 Februari – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh ekosistem semikonduktor negara apabila melancarkan makmal kongsi untuk pengesahan dan pencirian reka bentuk litar bersepadu (IC).
- Pelancaran makmal kongsi untuk pengesahan dan pencirian reka bentuk litar bersepadu di Bayan Lepas.
- Kemudahan bawah Penang Silicon Design @5-K-M Plus sediakan akses peralatan canggih kepada syarikat tempatan.
- InvestPenang kini ada 18 rakan strategik selepas penyertaan kumpulan kedua.
- Inisiatif itu mengukuhkan ekosistem semikonduktor dan menarik keyakinan pelabur global.
Kemudahan di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5-K-M Plus itu menyediakan akses peralatan canggih kepada syarikat tempatan bagi mempercepatkan proses pengkomersialan produk.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif oleh InvestPenang itu kini mempunyai 18 rakan strategik selepas penyertaan kumpulan kedua, hari ini.
“Ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 14 rakan strategik pada peringkat awal pelancarannya, Disember 2024 lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program makmal kongsi untuk pengesahan dan pencirian reka bentuk litar bersepadu (IC) di Bayan Lepas, hari ini.
Setakat ini, lebih 50 syarikat reka bentuk IC di Pulau Pinang, sekali gus mewujudkan lebih 9,500 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor tersebut.
Ini turut memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri pengeksport utama negara, yang menyumbang 40.1 peratus atau RM61.3 bilion kepada jumlah eksport Malaysia, Disember lalu.
Perkembangan itu sekali gus membuktikan keyakinan berterusan pelabur global terhadap kecemerlangan sektor elektrikal dan elektronik di negeri berkenaan.