fb fb fb fb fb

PT OKU baharu dirangka, tekan mekanisme pemantauan lebih inklusif - KPWKM

Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PT OKU) baharu dirangka, tekan mekanisme pemantauan lebih inklusif / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 10 September – Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PT OKU) baharu sedang dibangunkan sebagai kesinambungan kepada pelan terdahulu, dengan mengambil kira pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil serta agensi berkaitan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKB OKU) dalam mesyuarat pada 23 Julai lalu telah meneliti pencapaian PT OKU sedia ada.

“Majlis mengambil maklum pencapaian semasa program PT OKU pada kadar 69.09 peratus, iaitu melepasi sasaran yang ditetapkan. Namun, MKB OKU berpandangan pencapaian ini wajar terus dipertingkatkan dalam pelan baharu,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator D. J. Isaiah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

1009 PAR NORAINI PELAN TINDAKAN OKU 2Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad / Foto Bernama

Menurut Dr. Noraini, setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu bertanggungjawab memastikan pelaksanaan program mengikut senarai yang telah ditetapkan serta mengambil tindakan sewajarnya agar semua program dapat diselesaikan dalam tempoh masa ditentukan.

Beliau menjelaskan, pembangunan PT OKU baharu juga akan mengenal pasti mekanisme pemantauan dan pelaporan yang sesuai bagi setiap program, dengan mengambil kira dasar OKU sedia ada, pencapaian pelan terdahulu serta peruntukan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

“Pemantauan akan dilaksanakan secara inklusif melalui MKB OKU dan empat jawatankuasa di bawahnya. Satu mekanisme pemantauan berstruktur turut dirangka, termasuk penyediaan saluran komunikasi bagi menerima pandangan dan aduan sekiranya berlaku kelemahan dalam pelaksanaan,” katanya.

Tambah beliau, MKB OKU turut meminta semua kementerian dan agensi melaporkan status tindakan susulan bagi program yang belum mencapai tahap pelaksanaan penuh, meskipun ia telah melepasi sasaran asas yang ditetapkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN