fb fb fb fb fb

Proses pendakwaan akan dilakukan secepat mungkin - KP Perak

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 16 Disember - Polis akan melengkapkan laporan siasatan kes kemalangan maut membabitkan pelajar lelaki di Ipoh semalam, termasuk termasuk proses pendakwaan akan dilakukan secepat mungkin.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan menyeluruh dan terperinci akan dilakukan terhadap kes yang membabitkan anggota kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Perak akan terus membantu keluarga mangsa daripada pelbagai sudut dan segi dan memastikan siasatan yang telus yang benar yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan keadilan kes ini; akan terbukti di akhirnya. Kita secepatnya kita sudah dapat tiga hari reman kepada suspek tersebut, kita akan lengkap siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP)" kata Mohd Yusri, di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pihaknya bersedia membantu segala urusan yang diperlukan termasuk menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa.

"Urusan berkenaan dengan insurans takaful dan sebagainya pihak JPN sedang dalam bantu untuk menguruskan ke semua prosedur yang terbaik. Memang JPN dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia untuk melaksanakan segala urusan kaunseling yang perlu kepada ahli-ahli keluarga dan juga khas kepada ibu bapa mangsa," kata Wong Kah Woh, di sini.

Jumaat lepas, dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengahari itu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, pelajar sekolah Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di Meru Ipoh maut dilanggar kenderaan yang dipandu seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF