fb fb fb fb fb

Projek Solar Terapung Hidro Hibrid sokong ASEAN Power Grid

Foto RTM

KUALA BERANG, 12 Julai- Pelaksanaan pantas Projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau menjadi sebahagian penting daripada pelan strategik tenaga serantau melalui inisiatif ASEAN Power Grid, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jadi, satu pengajaran penting ialah projek ini telah diumumkan untuk dilaksanakan segera. Walaupun ia merupakan inisiatif daripada syarikat-syarikat utama milik kerajaan, projek ini secara tidak langsung berjaya menarik perhatian seperti yang disebut oleh Akmal (Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir) tadi, ia berkaitan dengan apa yang dikenali sebagai ASEAN Power Grid, tenaga dari Vietnam yang melibatkan projek kabel dasar laut ke Kelantan.

"Disebabkan grid sedia ada dianggap kecil dan tidak mampu menampung kapasiti 52,000, maka grid baharu perlu dibina.

"Grid baharu ini akan bermula dari Kelantan, melalui Terengganu dan saya percaya ia akan menyambung kepada keupayaan serta infrastruktur di Kuala Berang, Kenyir, sehingga ke Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogren Hijau di sini.

Pada masa sama, beliau turut menekankan pembangunan projek berskala besar seperti itu harus memberi manfaat terus kepada penduduk setempat, khususnya di Kuala Berang dan kawasan sekitar Tasik Kenyir.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM