
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Projek Pembangunan Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Mukim Hulu Semenyih yang ditularkan dan menimbulkan kekeliruan, sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2005 dan dibangunkan di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
- Tapak seluas 332.6 ekar milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dirancang sejak 2005 untuk atasi kekurangan lot kubur Islam warga kota.
- Kapasiti sedia ada hampir penuh dengan penggunaan 70 peratus; kira-kira 29 peratus atau 34,496 lot hanya mampu menampung sehingga 2032.
- Pihak pemaju akan sediakan infrastruktur seperti surau, pejabat pentadbiran, kafeteria dan rumah pengawal; pengurusan 104,470 lot kekal di bawah JAWI.
- Jabatan Wilayah Persekutuan membuat laporan polis bagi hentikan penyebaran maklumat tidak tepat; jalan pintas juga dirancang untuk melancarkan aliran trafik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menerusi status di Facebook menjelaskan projek pembangunan di atas tanah seluas 332.6 ekar itu dilaksanakan bagi menangani isu kritikal kekurangan lot kubur Islam untuk warga kota, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
“Projek ini turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila 10% daripada kapasiti tapak perkuburan diperuntukkan bagi tujuan pengebumian penduduk sekitar di negeri Selangor.
“Ia sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan ini memberi manfaat bersama kepada masyarakat,” jelas Hannah.
Tambahnya pihak pemaju menanggung sepenuhnya kos penyediaan infrastruktur termasuk surau, pejabat pentadbiran, kafeteria serta rumah pengawal manakala pengurusan dan operasi sebanyak 104,470 lot tapak perkuburan itu kekal di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Selain itu, menurut Hannah berdasarkan fakta rasmi kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melebihi 70% penggunaan.
Sehingga Jun 2023, hanya kira-kira 29% atau 34,496 lot masih berbaki dan dijangka hanya mampu menampung keperluan sehingga sekitar tahun 2032.
Justeru, penyediaan tapak perkuburan baharu merupakan keperluan mendesak bagi menjamin kebajikan umat Islam pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan bahawa projek berkenaan dibangunkan berteraskan kepentingan awam, iaitu projek dilaksanakan melalui kaedah kerjasama awam swasta.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian, pemaju akan menanggung sepenuhnya kos penyediaan infrastruktur termasuk kuarters, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas serta rumah pengawal dan juga kerja-kerja tanah bagi 104,470 plot kubur Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Tanah tapak projek ini kekal sebagai milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Manakala pengurusan, pentadbiran dan operasi Tapak Perkuburan Islam tersebut kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan bukannya diuruskan oleh mana-mana syarikat.
Katanya, laporan polis telah dibuat oleh pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi mengekang penyebaran maklumat tidak tepat berhubung projek berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Berhubung jalan pintas bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan sekitar, kos keseluruhan projek jalan pintas sebanyak RM93.89 juta bukan ditanggung oleh kerajaan, sebaliknya dibiayai oleh pemaju.
“Jalan pintas sepanjang 4.3 kilometer dari Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK dibina bagi mengatasi kesesakan trafik dan sekali gus memberikan laluan alternatif yang lebih lancar kepada penduduk setempat,” katanya.
Tambahnya, projek tersebut telah melalui penilaian teknikal serta mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Selangor, selain disokong kajian Makmal Pengurusan Nilai (Value Management Lab) bagi memastikan manfaat yang optimum kepada rakyat.