KUALA NERUS, 24 Mei- Projek kawalan hakisan pantai di Kuala Nerus kini mencapai kemajuan 24.5 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.
Projek yang bermula dari Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit itu melibatkan peruntukan RM90 juta daripada kerajaan Persekutuan.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli memaklumkan, projek sepanjang dua kilometer itu merangkumi proses penambahan pasir dan pembinaan 16 struktur pemecah ombak atau 'breakwater'.
Ia bertujuan memulihara kawasan pantai terjejas akibat hakisan serta menghalang kejadian banjir pantai serta melindungi harta benda dan infrastruktur.
"Sudah tentu setiap pelaksanaan projek mengambil sedikit masa, tetapi saya diberi jaminan oleh kontraktor bahawa mereka akan cuba menyiapkan sebaik mungkin.
"Kalau boleh sebelum musim tengkujuh 2025 bagi beberapa komponen. Insya-Allah kita akan cuba beri yang terbaik kepada semua," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan hakisan di Pantai Mengabang Telipot, di sini hari ini.
Tinjauan ke tapak projek berkenaan adalah sebahagian daripada program turun padang PETRA Skuad Zon Timur selama dua hari di Kelantan dan Terengganu.