Program TVET bantu banduan bina hidup baharu

Banduan diberi latihan kemahiran untuk membina hidup baharu selepas keluar dari penjara. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Program latihan kemahiran dan pemulihan yang dilaksanakan di penjara seluruh negara terbukti membantu banduan membina kehidupan baharu serta mengurangkan risiko mengulangi kesalahan selepas dibebaskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan kemahiran dan pemulihan dalam penjara membantu banduan bina hidup baharu dan kurangkan risiko ulang jenayah.
  • Hanya banduan disabitkan diberi latihan termasuk TVET, selaras prinsip keadilan kerana tahanan reman belum disabitkan.
  • Program seperti tenunan, pertukangan, bakeri dan pembuatan kuih-muih berjaya jana pendapatan signifikan, contohnya melebihi RM1 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini terdapat 41 penjara di seluruh negara yang menempatkan kira-kira 87,000 penghuni.

Daripada jumlah itu, hampir 29,000 daripadanya adalah tahanan reman manakala selebihnya adalah banduan yang telah disabitkan kesalahan.

“Sementara mereka di dalam, kita mengasuh mereka. Dan bila mereka keluar, sepatutnya tugas penjara selesai. Tetapi tidak… ada yang bila keluar, masyarakat tidak terima, keluarga tidak terima.

“Jadi Kita dapatkan pula mereka satu rumah, rumah peralihan kita panggil. Mereka duduk di rumah itu selama keluarga mereka tidak terima. Dan mereka keluar cari makan, cari nafkah, balik semula. Sampai bila? Sampai keluarga terima,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambahnya, hanya banduan yang telah disabitkan dengan kesalahan akan diberikan latihan kemahiran termasuk latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selaras dengan prinsip keadilan.

Ini berikutan tahanan reman masih belum diputuskan bersalah.

Antara latihan kemahiran dilaksanakan dalam penjara ialah tenunan, pertukangan kayu, bakeri serta pembuatan kuih-muih yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada banduan, malah berjaya menjana pendapatan sehingga mencecah lebih RM1 juta sepanjang Ramadan lalu