CHANGLOON, 14 Jun – Program rintis anjuran Changlun Youth Leadership Club (CYLC) bermatlamat mendidik murid sekolah menguasai -kemahiran bertutur dengan yakin dan teratur, berpotensi untuk diperluas kepada lebih ramai peserta selari dengan insiatif Projek Transformasi Changloon (CTP) dilancarkan Januari lalu oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pengasas Projek, Prof. Madya Dr. Sabrina Mohd Rashid dari Program Teknologi Media Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) berkata, peserta yang menyertai program rintis memberi maklum balas memberangsangkan selepas mengikuti 2 modul latihan dari 6 modul.
“Modul tersebut bertujuan membina keyakinan diri kepada murid-murid sekolah berusia 10-12 tahun dari sekitar Changloon untuk berucap di hadapan orang ramai. Program ini dibuat secara rintis bagi kami menilai keberkesanan dan membolehkan penambahbaikan terhadap modul-modul yang digunakan. Selain bercakap dengan lebih yakin, peserta turut dilatih menggunakan platform digital dengan selamat, beretika dan positif.
“Buat permulaan, kami hanya mengendalikan kumpulan kecil peserta untuk melihat kesesuaian pengisian program ini kepada murid sekolah. Dan, selepas dua sesi latihan dibuat, kami mendapati peserta memberi maklum balas yang sangat positif kepada modul latihan. Peserta mampu berucap dengan teratur, bersemangat dan yakin dalam pelbagai situasi. Kami turut memasukkan elemen media secara kreatif dan selamat untuk peserta memahami potensi teknologi digital,” jelas beliau.
Sesi pada hari ini melibatkan aktiviti penceritaan menggunakan gaya podcast yang dapat meningkatkan minat peserta untuk menguasai bidang pengucapan awam.
Pemindahan pengetahuan kepada komuniti ini merupakan salah satu mekanisme bagi membolehkan inisiatif CTP mencapai matlamatnya.
CTP yang dilancarkan pada Januari 2025 bertujuan memperkasa komuniti menjadi Komuniti Berpengetahuan serta memiliki pemikiran progresif di pelbagai peringkat usia.
Pelaksanaan program kepada komuniti di Changloon dibuat berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan dalam tempoh 10 tahun mengikut perancangan strategik CTP.
Bagi tahun pertama hingga lima, rangka kerja CTP memberi tumpuan kepada usaha membina asas yang fokus kepada pemerkasaan pendidikan, keterlibatan komuniti dan merintis pelbagai projek transformasi.
Manakala, bagi tahun keenam hingga sepuluh pula, CTP akan berusaha memanfaatkan asas-asas yang telah dibina untuk mengintegrasikan sepenuhnya teknologi moden dan amalan lestari dalam kalangan komuniti Changloon.