
KUALA LUMPUR, 5 September – Program Majlis Hadis dan Isnad Al-Muwatta’ Imam Malik Peringkat Negeri Sarawak 2026 wajar diperluas dan dijadikan agenda tahunan pembangunan insan di Sarawak sebelum diperkenalkan secara lebih meluas di peringkat kebangsaan.
- Program bukan sekadar majlis ilmu, menghidupkan semula budaya menuntut ilmu dan memastikan khazanah ilmu Islam diwariskan.
- Pemilihan Kitab Al-Muwaṭṭa’ menekankan kepentingan disiplin sanad sebagai asas kesinambungan dan ketulenan ilmu.
- Ilmu mesti diterjemah dalam kehidupan melalui pengamalan akhlak, amanah, kesederhanaan, kasih sayang dan hubungan baik sesama manusia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program berkenaan bukan sekadar majlis ilmu, sebaliknya menjadi wadah menghidupkan semula budaya menuntut ilmu serta memastikan khazanah ilmu Islam terus diwariskan kepada generasi seterusnya.
Beliau berkata, pemilihan kitab Al-Muwatta’ karya Imam Malik turut menekankan kepentingan disiplin sanad atau isnad sebagai asas kepada kesinambungan dan ketulenan ilmu.
“Ilmu yang benar perlu dipelajari, difahami dan diwariskan dengan amanah,” katanya dalam ucapan yang disampaikan secara rakaman sempena Majlis Penutupan program itu, malam ini di Facebooknya.
Menurutnya, penyertaan anak tahfiz, mahasiswa, penjawat awam dan masyarakat umum sepanjang program lima hari itu membuktikan minat masyarakat terhadap pengajian hadis.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya menamatkan pembacaan dan pengajian Kitab Al-Muwatta’ serta menerima Sijil Sanad.
Bagaimanapun, beliau berharap ilmu yang diperoleh tidak terhenti pada sijil, sebaliknya diterjemahkan dalam kehidupan menerusi pengamalan akhlak, amanah, kesederhanaan, kasih sayang dan hubungan baik sesama manusia.
Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, khususnya Majlis Bukhari Malaysia, Majlis Islam Sarawak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak, JAKIM, Yayasan Angkatan Dakwah Islam Malaysia dan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak.
Beliau turut menghargai sokongan Kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terhadap pembangunan ilmu dan syiar Islam di negeri itu.
Penghargaan turut diberikan kepada Sheikh Al-Musnid Mohamad Abul Huda Al Yaquobi dan Fadhilatus Sheikh ‘Isam As Subu’ie yang memimpin majlis pembacaan dan sanad hadis sepanjang program.
Fadillah berkata, kehadiran ulama dan tokoh ilmu berkenaan memberi nilai besar kepada usaha memartabatkan pengajian hadis di Sarawak.
“Ilmu yang tidak diterjemahkan dalam kehidupan belum mencapai tujuan yang sebenar,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat terus dikembangkan bagi membentuk masyarakat yang bukan sahaja berilmu, tetapi turut berakhlak, selain memperkukuh iman dan menyatukan masyarakat Sarawak serta Malaysia.