fb fb fb fb fb

Presiden Turkmenistan selesai lawatan rasmi di Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow, pulang ke negaranya hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari.

Beliau diberikan sambutan hormat dengan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh pegawai serta anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat Turkmenistan Airlines yang membawa Berdimuhamedow bersama delegasinya berlepas menuju Ashgabat pada pukul 5.30 petang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Turkmenistan.

Terdahulu, Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow turut mengunjungi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Menara Kembar Petronas, hari ini.

Berdimuhamedow dan delegasinya disambut oleh Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Beliau tiba sekitar pukul 4.00 petang di Menara Kembar Petronas untuk menghadiri mesyuarat bersama Presiden Petronas setelah mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.

Dalam lawatan selama satu jam ke Petronas, beliau turut mengunjungi Jambatan Udara Petronas yang terkenal sebagai tarikan pelancong.

Dalam lawatan rasminya ke Malaysia, Berdimuhamedow dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pertukaran tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkmenistan telah bermula sejak tahun 1992.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM