Presiden Myanmar lawat Malaysia 7-8 Oktober

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Oktober – Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober ini bagi membincangkan beberapa isu utama melibatkan hubungan dua hala, termasuk penghantaran pulang warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di negara ini secara tidak sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin akan meneliti usaha melalui mekanisme ASEAN selaras keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, meneruskan penglibatan konstruktif berasaskan Kemuafakatan Lima Perkara.
  • Lawatan memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar untuk meneruskan penglibatan secara langsung dengan Myanmar.
  • Perdana Menteri sebelum ini mengadakan dua pertemuan dengan Min Aung Hlaing semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
  • Malaysia akan terus menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan, memastikan akses bantuan kemanusiaan dan mengekalkan kestabilan serta kemakmuran rantau.

Kenyataan Wisma Putra menyebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Min Aung Hlaing mengenai usaha memastikan proses berkenaan dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka meneliti usaha yang sedang dilaksanakan melalui mekanisme ASEAN, selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 pada Mei lalu untuk meneruskan penglibatan yang konstruktif dan berprinsip dengan Myanmar berlandaskan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN (5PC).

“Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar untuk meneruskan penglibatan secara langsung dengan Myanmar,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri sebelum ini telah mengadakan dua pertemuan dengan Min Aung Hlaing sebagai sebahagian daripada penglibatan Malaysia dengan Myanmar ketika negara menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun lalu.

Selain itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengadakan lawatan ke Myanmar pada April dan Oktober 2025 serta Mei 2026.

Menurut Wisma Putra, Myanmar merupakan sebahagian penting daripada ASEAN dan sebagai negara anggota blok itu, Malaysia akan terus menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan dan perdamaian, selain memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan di negara berkenaan.

“Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua Negara Anggota ASEAN bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.