
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Rakyat Malaysia kini mempunyai platform rujukan khas bagi membanteras ancaman penipuan tiket acara menerusi portal belitiketselamat.my.
- BTS membolehkan peminat menyemak kesahihan tiket sebelum membuat sebarang transaksi.
- Permintaan tinggi dan tiket terhad mendorong pembelian melalui saluran alternatif, meningkatkan risiko penipuan.
- BTS melindungi mangsa melalui kesedaran dan perkongsian maklumat, serta kaunter bantuan acara untuk laporan NSRC dalam 15 minit.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif di bawah Kempen Beli Tiket Selamat (BTS) itu membolehkan peminat menyemak kesahihan tiket sebelum membuat sebarang transaksi.
Beliau berkata, langkah itu bertepatan ketika negara kini memasuki musim acara utama ‘KL Headline Season’, yang dijangka menyaksikan ribuan penonton menyaksikan konsert dan persembahan terbesar tahun ini.

“Dalam situasi tiket yang terhad dan permintaan tinggi, ramai pembeli akhirnya mengambil risiko mendapatkan tiket melalui saluran alternatif.
“Malangnya, dalam keadaan terdesak inilah mereka mudah diperdaya oleh iklan yang kelihatan meyakinkan, seterusnya berurusan dengan pihak tidak bertanggungjawab dan membuat pembayaran tanpa menyedari mereka sebenarnya sedang menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Prapelancaran Kempen BTS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Datuk Fahmi berkata, kempen tersebut merupakan inisiatif kerajaan dan industri bagi melindungi rakyat daripada penipuan tiket menerusi usaha kesedaran, sokongan kepada mangsa serta perkongsian maklumat dengan agensi penguat kuasa.

“BTS tidak menggantikan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebaliknya memperkukuh usaha penguatkuasaan menerusi penyaluran maklumat bagi mempercepat tindakan,” katanya.
Tambah beliau selain portal, lokasi acara terlibat turut menyediakan kaunter bantuan BTS bagi membantu mangsa penipuan mendapatkan laporan NSRC dalam tempoh masa 15 minit.