HULU LANGAT, 30 Oktober - Pondok Daie Muda YADIM (PDMY) merupakan program intensif strategik terbaharu diperkenalkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersempena ulang tahun ke-51 penubuhannya tahun ini.
Menurut Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, ia sebagai platform memperkasa generasi lepasan pondok, madrasah, pusat tahfiz dan pusat dakwah sebagai pelapis pendakwah masa hadapan yang berilmu, berakhlak dan berwawasan.
"Ini suatu perkara yang cukup bermakna dalam usaha kita mengembangkan dai-dai muda yang lahir daripada institusi pondok. Selama ini kita lihat institusi sekolah pondok sebagai sesuatu yang agak pinggir, dan tersorok.
Tetapi hari ini kita boleh lihat pelajar juga boleh menyerlah menerusi latihan dan kursus-kursus yang dianjurkan. Kita ucapkan tahniah kepada YADIM kerana berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab melahirkan Dai pondok buat kali pertama," katanya.
Program tersebut bakal memberi penekanan kepada latihan berfasa dan praktikal di lapangan sebenar, meliputi modul Tekno Daie, Kepimpinan, Dakwah Lapangan, Silang Agama dan Budaya, Pengurusan Imej serta Pengurusan Jenazah.
YADIM berharap usaha ini dapat melahirkan pendakwah muda yang relevan, responsif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
Seramai 17 pelatih termasuk dari Yaman dan Indonesia mengikuti latihan selama dua bulan di Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH), Hulu Langat.
Antara penuntut madrasah yang terlibat ialah Ribat Fatah Wal Imdad dan Ribat Fatah Seiwun Hadramaut dari Yaman, serta Pesantren Darul Habib Sukabumi, Indonesia selain peserta tempatan dari Selangor, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Kedah.