KEMAMAN, 1 Disember- Polis Kontinjen Terengganu berpuas hati dengan semua persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok.
Ia melibatkan sumber manusia, aset, persiapan terakhir tempat mengundi serta pelbagai penugasan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata semua persiapan telah diatur sejak awal lagi dan berjalan lancar.
Semua elemen dan strategi telah disusun serta terkawal termasuk sekiranya berlaku banjir.
"Bagaimanapun kita punya perancangan awal melibatkan PRK dan banjir tetap diteruskan sekiranya berlaku banjir.
"Setakat ini kita dimaklumkan tidak ada banjir akan berlaku esok cuma hujan renyai dan sebagainya. Persiapan kita 100 peratus dan saya telah membuat lawatan. Saya berpuas hati semua persiapan melibatkan PDRM, SPR dan juga lain-lain agensi terlibat dalam PRK kali ini," katanya selepas meninjau persiapan terakhir SPR di Dewan Berlian Utama Kemaman di sini.
Mengulas lanjut Mazli berkata 1,198 kekuatan daripada Kontinjen Terengganu serta bantuan Bukit Aman digerakkan bagi PRK Kemaman esok.