fb fb fb fb fb

Polis tahan 14 lelaki, terlibat lumba haram

20 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan

SEBERANG PERAI, 31 Mac- Polis menahan 14 lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan lumba haram di kilometer 131 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara dekat Sama Gagah, Seberang Perai Tengah pagi tadi.

Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 30-an ditahan menerusi Ops Samseng Jalanan yang dijalankan polis bermula pukul 12.00 tengah malam sehingga 4.00 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris, polis telah menjalankan pemeriksaan terhadap 60 penunggang motosikal dalam operasi tersebut.

"Polis turut mengeluarkan 100 keping saman atas pelbagai kesalahan jalan raya ke atas pemilik motosikal terbabit.

"20 buah motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan," katanya.

14 yang ditahan disiasat bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operasi itu melibatkan seramai 57 anggota termasuk tiga pegawai bahagian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bukit Aman.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI