fb fb fb fb fb

Polis berkas dua nelayan terlibat sindiket pengedaran dadah antarabangsa

(Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong menunjukkan ganja yang berjaya dirampas
 pihak polis dalam dua serbuan di pantai Tanjung Bungah)

GEORGE TOWN, 26 Oktober - Dua nelayan tempatan yang dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya diberkas.

Turut dirampas sejumlah 573 kilogram (kg) ganja, dianggarkan bernilai RM1.43 juta dalam dua serbuan di pantai Tanjung Bungah, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata rampasan pertama membabitkan 243 ketulan mampat ganja seberat 246 kg dibuat di sebuah pondok dekat pantai terbabit.

Susulan itu, polis berjaya merampas 321 ketulan ganja mampat seberat 327 kg dalam sebuah sampan seorang daripada suspek berkenaan.

Ke semua ganja tersebut diletakkan di dalam 19 karung guni.


(Antara ganja yang berjaya dirampas pihak polis dalam dua serbuan di pantai Tanjung Bungah)  

Menurut beliau, siasatan mendapati kedua-dua suspek berusia 54 dan 58 tahun itu bergiat aktif dengan kegiatan terbabit sejak Julai lalu dan memperoleh bekalan dadah berkenaan dari negara jiran.

Kedua-dua suspek yang turut mempunyai rekod lampau direman selama tujuh hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis daerah Timur Laut serta Pasukan Polis Marin Wilayah Satu.

Media Baharu