
KUALA LUMPUR, 21 April – Terdapat keperluan mendesak untuk negara ASEAN mengurus dan mengawal teknologi baharu lebih awal sebelum ia mewujudkan risiko keselamatan tidak terkawal.
- Teknologi seperti AI, pengkomputeran kuantum dan komunikasi maju membawa risiko konflik, ancaman siber dan penyebaran maklumat palsu jika tidak ditadbir.
- Dominasi kuasa besar dan syarikat global boleh menjejaskan nilai, budaya dan kepentingan serantau ASEAN.
- Keselamatan sebenar memerlukan AI berteraskan nilai kemanusiaan, ketelusan dan tanggungjawab serta perlindungan makanan, air dan alam sekitar.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah sejarah menunjukkan manusia sering membangunkan teknologi terlebih dahulu sebelum membina kerangka kawal selia seperti yang berlaku terhadap penggunaan senjata nuklear.
“Kesilapan sama tidak boleh diulangi dalam era kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan teknologi baharu lain yang semakin berkembang pesat,” titah baginda pada Majlis Perasmian Forum Putrajaya 2026 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) di sini hari ini.
Teknologi seperti AI, pengkomputeran kuantum dan komunikasi maju bukan sahaja berpotensi memperkukuh keselamatan, malah turut membawa risiko besar jika tidak ditadbir dengan baik.
Titah baginda, antara risiko tersebut termasuklah kemungkinan konflik tercetus akibat kebergantungan kepada sistem automasi, ancaman siber terhadap infrastruktur kritikal serta penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan masyarakat.
Baginda turut memberi amaran bahawa dominasi teknologi oleh kuasa besar dan syarikat global mampu memberi kesan kepada negara ASEAN khususnya dalam memastikan nilai, budaya dan kepentingan serantau terus terpelihara.
Dalam pada itu, baginda turut menekankan kepentingan membangunkan sistem AI yang berteraskan nilai kemanusiaan, telus dan bertanggungjawab.
Selain menyifatkan ancaman terhadap alam sekitar sebagai cabaran keselamatan paling kritikal yang sering dipandang ringan.
Titah baginda, perubahan iklim, kekurangan sumber makanan dan kerosakan ekosistem bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya memberi kesan langsung kepada kestabilan negara dan serantau.
“Keselamatan sebenar tidak hanya bergantung kepada kekuatan ketenteraan, tetapi juga keupayaan melindungi sumber asas seperti makanan, air dan alam sekitar,” titah baginda.