fb fb fb fb fb

PM Singapura tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi sulung

(Dari kanan) Lawrence Wong dan isteri, Loo Tze Lui

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong telah memulakan siri lawatan pengenalannya ke ibu kota Asia Tenggara bermula Brunei dan Malaysia hari ini.

Ia adalah lawatan luar negara pertamanya sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-4 Singapura pada 15 Mei lepas.

Pesawat komersial yang membawa Lawrence dan delegasinya tiba pukul 8.50 malam di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disambut oleh Ketua Protokol Kementerian Luar, Datuk Mohd Aini Atan.

Ketibaan Wong diberi kawalan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di bawah pimpinan Kapten Adam Azman.

Esok, beliau dijadual bertemu rakan sejawatannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan pengenalan selama tiga hari itu adalah atas jemputan Anwar.

Wong turut ditemani isterinya, Loo Tze Lui, Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Negara bagi Perhubungan, Penerangan dan Kesihatan, Rahayu Mahzam, serta delegasi.

Lawrence, 51, sebelum ini adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menggantikan Hsien Loong yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura sejak 2004.

Beliau dipilih oleh Hsien Loong pada 2022 daripada generasi baharu pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak republik itu mencapai kemerdekaan pada 1965.

SITI AISHAH MD ISA