fb fb fb fb fb

PM salur sumbangan RM10,000 kepada waris kemalangan bas rombongan guru

Shamsul Iskandar Mohd Akin (kanan) dan isteri, Dr Norzakiah Mohd Tahir (kiri) hari ini menziarahi Huda Hamiza Zulsham (tengah) iaitu anak kepada Dahlia Ahmad, 52, yang maut dalam kemalangan bas di Kampung Sungai Tuang di Alor Gajah, Melaka

MASJID TANAH, 10 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada waris keluarga empat individu yang meninggal dunia dalam kemalangan bas di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang awal pagi Ahad lepas.

Sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul berkata, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan kepada keluarga mangsa.

"Selain daripada menyampaikan salam takziah, Perdana Menteri juga menyampaikan sumbangan kepada keluarga (mangsa) sebanyak RM10,000, untuk paling tidakpun membantu mereka apa yang perlu dilaksanakan," katanya.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan bagi menyantuni kesemua keluarga terbabit bersama isterinya, Datin Seri Dr Nozakiah Mohd Tahir di Melaka.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 orang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri satu program penanda aras.

Mangsa yang maut adalah Hasnatul Adilah Hassan, 48, (Penolong Kanan SK Jeram); Dahlia Ahmad, 52, (guru SK Jeram); Hamzah Ahmad, 60, (Pembantu Operasi SK Jeram) dan Hadi Asyraf Mad Idris, 29, (kelindan bas).

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA