fb fb fb fb fb

Permohonan BUDI Individu, BUDI Agri-Komoditi meningkat mendadak – PM Anwar

Datuk Seri Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 4 Tahun 2024 yang berlangsung hari ini.

PUTRAJAYA, 10 Jun- Jumlah permohonan diterima untuk bantuan tunai Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui https://budimadani.gov.my mengalami peningkatan mendadak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 4 Tahun 2024 yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata mesyuarat MTEN Bilangan 4 Tahun 2024 membincangkan perkembangan semasa susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.

“Kumpulan pertama individu layak akan menerima RM200 yang akan didepositkan ke dalam akaun bank mereka pada 10 Jun 2024,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Mesyuarat MTEN Bilangan 4 Tahun 2024 hari ini turut meneliti kertas “Pemerkasaan Industri Kereta Api”.

Jelasnya perbincangan terarah kepada kepentingan pelaksanaan segera rasionalisasi industri kereta api negara berdasarkan objektif Akta Keretapi 1991 (Akta 463)

“Selari dengan matlamat rasionalisasi subsidi, kerajaan giat memberi fokus kepada meningkatkan jaringan, infrastruktur dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.

“Mesyuarat turut memperincikan langkah-langkah memastikan perkhidmatan KTM Komuter, tren laju antara bandar (ETS) dan Ekspres Timuran oleh KTM Berhad memenuhi keperluan kekerapan dan jumlah penumpang semasa serta jangkaan masa hadapan,” katanya.

Anwar berkata, beliau menekankan kepentingan bagi isu-isu dasar dan pelaksanaan bagi keputusan-keputusan tersebut diselesaikan segera.

Ujarnya ia adalah penting bagi objektif serta kesan ekonomi dan sosial yang dihasratkan Kerajaan dapat dirasai rakyat mengikut jadual dan kesaling hubungan di bawah kerangka Malaysia MADANI dan Ekonomi MADANI.

ZEHRA BINTI ZAMBRI