KUALA NERUS, 10 Jun- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang merangka dasar sesuai bagi mengatasi masalah pencemaran laut susulan ramalan global bahawa jumlah sisa plastik di lautan akan melebihi jumlah ikan menjelang 2050.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini termasuk kemungkinan memperkenalkan undang-undang di peringkat nasional bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai.
Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk memasang perangkap sampah sebagai usaha menghalang sampah tersebut daripada masuk ke dalam laut.
"Mengenai perangkap sampah ini, kita berusaha untuk mengumpulkan sebanyak mungkin (sampah) tetapi terdapat hadnya. Selain itu, ia juga memerlukan penyelenggaraan secara berkala untuk menjaga kebersihan. Jika tidak, masalah banjir dan sebagainya boleh timbul dan ini memerlukan kita memikirkannya semula.
“Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif mengatasi masalah ini seperti Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030,” katanya.
Nik Nazmi ditemui pemberita selepas hadir Jelajah Kelestarian Alam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Tambahnya, dunia kini berdepan masalah lambakan sisa plastik dan sampah yang mampu mencemarkan lautan sekali gus membunuh ekosistem marin jika tidak dikawal segera.
"Berdasarkan kajian yang diterima mendapati menjelang 2050 berat sisa plastik di lautan akan mengatasi berat ikan.
"Cabaran besar plastik ini sebab tidak terurai. Kalau sampah lain diperbuat daripada kertas, kadbod atau kain kapas akan terurai selepas beberapa tahun tetapi kalau plastik anggarannya selama 500 tahun untuk terurai," jelasnya.
Justeru, beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna selaras dengan pelan tindakan yang digariskan menerusi Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.
Sementara itu pada program hari ini, NRES dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) menganjurkan Jelajah Kelestarian Alam dan UMT menjadi lokasi pertama jelajah itu sebagai usaha mendekati golongan belia berhubung isu kelestarian alam.
Pada program sama UMT melancarkan Pertubuhan Lautan Mampan Malaysia (SOA Malaysia) yang diketuai pemimpin belia universiti itu dengan fokus memperkasakan dan membimbing pemimpin muda di Malaysia selain membawa misi ‘Lautan Bebas Sampah’.