PUTRAJAYA, 31 Disember - Umat Islam di negara ini diingatkan supaya berhati-hati dan menyemak kesahihan sebarang tawaran badal haji yang diiklankan secara meluas, termasuk di surau, masjid dan platform media sosial.
Langkah itu bertujuan bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, pakej perkhidmatan badal haji yang ditawarkan sukar dilaksanakan secara komersial kerana setiap jemaah haji, termasuk penduduk tempatan di Arab Saudi, perlu memiliki visa haji yang sah.
“Orang ramai perlu lebih bijak menilai iklan tawaran badal haji serendah RM1,500.
"Saya menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan badal haji secara komersial demi mengelakkan penipuan dan kerugian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah luar negara memiliki visa haji sah, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit khas.
Kos terendah pakej haji untuk penduduk tempatan adalah sekitar SR10,000 atau (RM11,300) dan hanya merangkumi permit serta khemah di Masyair, tidak termasuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan.
Dr. Zulkifli menegaskan, pada musim haji 1447H/2026 yang akan datang, penguatkuasaan undang-undang di Arab Saudi akan lebih ketat dan mereka yang menggunakan visa atau permit tidak sah boleh berdepan hukuman denda, penjara dan disenarai hitam daripada memasuki negara itu untuk tempoh beberapa tahun.
Ujar beliau, pihak kerajaan dan Tabung Haji sentiasa memberi peringatan agar orang awam menyemak kesahihan tawaran terlebih dahulu.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang terhadap individu atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan pakej haji dan badal haji,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki atau menjadi mangsa penipuan bagi memastikan siasatan dan tindakan perundangan dapat diambil serta melindungi kepentingan pengguna.
