KUALA LUMPUR, 10 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaktifkan Pusat Sehenti Jemaah Haji Terkandas di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula hari ini hingga 21 Jun depan bagi membantu kes jemaah haji terkandas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata seramai 31 pegawai penyiasat dan 9 anggota akan terlibat dalam di dalam task force tersebut.
"Tujuan task force ini ditubuhkan adalah untuk memberi kemudahan atau memudahkan jemaah haji yang terkandas sama ada terkandas di KLIA sebelum berlepas ke Arab Saudi mahu pun jemaah haji yang terkandas di Arab Saudi dan tidak dapat mengerjakan haji.
"Yang kedua adalah untuk menerima laporan daripada jemaah haji terlibat, mengenal pasti apakah kesalahan telah berlaku mengikut lunas undang-undang, dan yang ketiga menyalurkan semua laporan kepada agensi yang berkenaan kepada Tabung Haji dan juga MOTAC supaya siasatan dapat dijalankan," katanya ketika Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ, hari ini.
Tambah Beliau, pihaknya turut mendapat kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji serta Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan.
Katanya, setakat ini tiada jemaah haji yang dilaporkan terkandas di KLIA.