MELAKA, 9 Jun - Kerajaan negeri Melaka menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan membantu pengurusan jenazah yang terlibat dalam kemalangan melibatkan bas yang dinaiki rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Kilometer 126 Jalan Kuantan – Segamat, awal pagi tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri juga akan memantau perkembangan nahas itu dari semasa ke semasa.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut menzahirkan rasa duka ke atas semua mangsa yang terlibat.
“Masjid Tanah berduka,” tulisnya ringkas disertai emoji emosi bersedih.
Sementara itu, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka, Datuk Hameed Mythin Kunju Basheer turut berada di Hospital Muadzam Shah, Pahang bagi memberi bantuan kepada mangsa terlibat.
Gambar yang sempat dirakamkan rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka sebelum bertolak ke Terengganu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, dua guru iaitu Hasnatul Adilah Hassan, 48, dan Hamzah Ahmad, 60, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Turut maut dalam nahas adalah kelindan bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29.
Bas dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu itu turut dilaporkan terbabas dan terjunam ke bawah cerun di Kilometer (KM)126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau.
Rombongan guru terbabit dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju ke Terengganu sempena Program Lawatan Penanda Aras di SK Kompleks Seberang Takir.