KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan ke kediaman Menteri Digital, Gobind Singh Deo bersempena sambutan Deepavali, hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri berkata kunjungan berkenaan bagi meraikan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
"Semoga seluruh penganut Hindu berbahagia di samping keluarga tersayang. Deepavali Nal Vazhtugal!," katanya.
Turut mengiringi Datuk Seri Anwar ialah isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama, beberapa pemimpin kanan antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.