KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa kerajaan negeri agar tidak meminggirkan kepentingan golongan penjaja dan peniaga kecil di negara ini. Menurutnya, sumbangan golongan itu adalah setara dengan mana-mana sektor lain dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Selain daripada restoran 5 bintang dan taman yang indah untuk mengenali warisan dan sejarah Melayu negara ini, yang kita tekankan adalah gerai makanan atau 'food court' untuk penjaja dan peniaga kecil Melayu supaya dapat bertapak di kawasan warisan yang baru itu.
"Saya nak jadikan ini contoh supaya negeri-negeri lain laksanakan yang sedemikian. Kalau tidak projek yang berpuluh-puluh bilion itu jauh terasing.
"Kalau tengok projek-projek mega dahulu orang kecil nak meniaga pun takde tempat, terus terasing dan terpinggir. Alhamdulillah bawah Kerajaan Madani ni kita kembalikan mereka dalam arus perdana pembangunan dan itu kita lakukan," kata Datuk Seri Anwar.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM) di MATRADE, di sini.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada GPPPKMM dan dana ini akan disalurkan terus kepada gabungan bagi memastikan kelangsungan operasi, program, dan aktiviti persatuan tanpa gangguan sementara menunggu pembentangan Belanjawan akan datang.
Beliau turut menggesa agar kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencontohi usaha yang dibuat Kerajaan Persekutuan dalam usaha memartabat golongan penjaja dan peniaga kecil sekaligus mengkomersilkan pusat penjaja di negara ini.