KUALA LUMPUR, 29 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyampaikan 12 kategori anugerah kepada pekerja yang telah menyumbang kepada pembangunan negara, sempena sambutan Hari Pekerja, 1 Mei ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata majlis penyampaian akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
"Anugerah Hari Pekerja, kalau dahulu Anugerah Media ini bajetnya RM5,000 tetapi kita naikkan kepada RM10,000 pada tahun ini."
"Kemudian, Anugerah Tokoh Pekerja Sektor Awam yang melibatkan bajet terdahulu adalah RM75,000. Namun, pada tahun ini kita letak bajet RM120,000 untuk anugerah tersebut," kata Abdul Rahman kepada selepas hadir pada rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Pada majlis yang dijangka dihadiri 3,000 pekerja itu, akan turut menyaksikan penganjuran 20 program di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Selain itu, Perdana Menteri dijadual melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan.