KUALA LUMPUR, 13 November- Hasrat kerajaan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dilihat mampu menjadi teras dalam melahirkan pewaris negara yang kaya nilai perpaduan, integriti dan insaniah.
Menurut Pensyarah (Pembangunan Belia) FPP dan Unit Literasi Dan Advokasi Politik Institut Pengajian Sains Sosial (LPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Mohd Musyid berkata program itu perlu agar graduan atau lepasan PLKN boleh berfikir dan mampu menyelesaikan masalah.
"Kita nampak kebanyakan golongan muda sekarang sukar untuk membuat keputusan, tidak yakin pada diri sendiri, ketahanan fizikal rendah dan daripada segi dalaman, daya tahan untuk menghadapi cabaran itu kurang," katanya kepada pemberita ketika merungkai topik "Apa rasionalnya PLKN 3.0" dalam program terbitan Radio Televisyen Malaysia, di sini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UM), Dr Abd Razak Zakaria pula berkata ia dapat memperkukuhkan disiplin dan jati diri seseorang belia itu.
"PLKN diharapkan dapat memperkukuhkan apa yang mereka telah belajar di sekolah. Ditambah dengan disiplin diri, jati diri dan patriotisme dalam PLKN yang akan kita buat ini," kata Abd Razak.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia, Md Izzat Afifi Abdul Hamid pula berpendapat penyediaan modul latihan dan pembelajaran PLKN 3.0 juga perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan ia lebih holistik dan memenuhi keperluan dalam mendepani cabaran masa kini.
"Sekarang ini peringkat sekolah terutama dalam unit beruniform mereka telah melaksanakannya sejak sekian lama seperti pengakap, kadet remaja dan sebagainya. Isu-isu kenegaraan dan sebahagian modul dalam kepimpinan mereka telah diterapkan, jadi kalau kita hendak meletakkan dalam PLKN, 10 peratus itu kalau ada pun lebih kepada literasi politik dan sebagainya kerana kita tahu umur 18 tahun sudah boleh mengundi," katanya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kerajaan akan meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza, termasuk memerlukan anak muda menjalani latihan di kem tentera.