BACHANG, 23 April - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan memasang Plak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) berdaftar di 136 Taska yang berdaftar di negeri itu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, Taska tersebut merupakan yang telah berdaftar setakat Disember tahun lalu, meliputi 100 Taska di Melaka Tengah, Jasin (20) dan Alor Gajah (16)
Pemasangan plak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) berdaftar antara inisiatif terbaik dalam memudahkan urusan ibu bapa memilih pusat asuhan, sekali gus membantu kerajaan menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
"Program ini cukup baik, kita letakkan plak itu dan ibu apa boleh imbas untuk mengetahui maklumat. Saya sarankan hari ini pada semua Taska yang masih belum berdaftar lagi tolong la daftar. Dipihak kami, kita akan kurangkan masalah-masalah demi kelestarian anak-anak kita, itu penting bagi saya," kata Kalsom.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pemasangan Plak terbabit di tiga Taska berdaftar sekitar Melaka Tengah. Hadir sama pada majlis itu Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhammad.
Tambah Kalsom, berkuat kuasa tahun hadapan, semua pengusaha Taska baru dikehendaki memasang sendiri plak terbabit mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, JKM Melaka telah mengambil tindakan kepada 25 Pusat Jagaan dan Taska berdaftar di negeri itu meliputi pembatalan pendaftaran, arahan bertulis dan penutupan premis.
Sementara 17 tindakan penguatkuasaan telah dikenakan kepada Pusat Jagaan dan Taska tidak berdaftar termasuk lak dan kompaun.