fb fb fb fb fb

PJR Aidilfitri di 302 lokasi seluruh negara

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali/Foto RTM

PUTRAJAYA, 5 April-Program Jualan RAHMAH (PJR) Aidilfitri diadakan di 302 lokasi berjadual di seluruh negara bermula semalam hingga 9 April ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini, Armizan berkata PJR Aildilfitri akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

Selain penjualan barang-barang keperluan kering, PJR Aidilfitri akan melibatkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain khusus bagi persiapan menyambut Aildilfitri seperti ayam, daging lembu, beras, rempah-ratus dan sebagainya.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas Agenda Payung RAHMAH MADANI melalui pelaksanaan PJR Aidilfitri bersempena dengan sambutan lebaran kali ini,” katanya.

Lokasi pelaksanaan PJR Aidilfitri adalah di Johor sebanyak 18 lokasi, Kedah (21), Kelantan (14), Kuala Lumpur (4), Melaka (13), Pahang (15) dan Perak (25).

Ia turut dilaksana di Perlis (3), Pulau Pinang (42), Sabah (29), Sarawak (45), Selangor (36), Terengganu (22), Negeri Sembilan (13) serta Putrajaya dan Labuan masing-masing dengan satu lokasi.

Beliau berkata maklumat lanjut pelaksanaan PJR Aidilfitri boleh diakses melalui portal KPDN di pautan htps://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD