fb fb fb fb fb

Pindaan perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan dibawa ke Parlimen bulan ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA, 8 Mac - Kerajaan akan membawa pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara ke sidang Parlimen bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi meminda perkataan ‘bapa’ kepada ‘ibu bapa’ atau ‘ibu’ atau ‘bapa’ setelah draf berkenaan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

"Sukacita saya maklumkan bahawa istilah bapa dalam Perlembagaan Persekutuan itu dari segi hak anak-anak menjadi warganegara akan digantikan dengan ibu bapa atau ibu atau bapa.

"Setelah begitu lama, puluhan tahun perkara ini dibangkitkan, Kerajaan MADANI di bawah Menteri (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Datuk Seri Nancy Shukri, kita dapat lakukan pindaan yang sangat bererti ini,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, di sini.

Perdana Menteri berkata beliau percaya pindaan itu akan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Sementara itu Anwar berkata, kerajaan akan mengkaji waktu kerja fleksibel bagi wanita untuk membantu dan memudahkan golongan itu menguruskan anak-anak dan keluarga.

Katanya, perbincangan akan dibuat bersama-sama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berhubung perkara itu.

"Kita peringkat akhir kaji skim persaraan penjawat awam dengan maksud meningkatkan kadar upah kerana sudah lebih 10 tahun tidak dikaji. Jadi kita sedang mengkaji, saya akan bincang dengan KSN dan KPPA supaya memberikan sedikit ruang dan kelonggaran. Walaupun mungkin dengan gaji yang kurang.

"Kalau umpamanya biasa orang bekerja jam lapan sampai jam empat petang. Kalau dia (wanita) kerja empat jam, kadar upah juga untuk empat jam, walaupun masa kerja itu kurang kita masih boleh memanfaatkannya untuk wanita yang terdesak menjaga kepentingan anak-anak di rumah," katanya.

Jelasnya, perkara itu akan diteliti dan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

Malaysia akan menjadi negara pertama yang memberi  pengiktirafan bermakna kepada wanita dalam soal toleransi kerjaya dan rumahtangga.

TETITIA YUSOFF