fb fb fb fb fb

Pindaan PDPA, dibentang pada minggu akhir sidang Parlimen

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, akan dibentang pada minggu akhir sesi persidangan Parlimen kali ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata butiran pindaan akan dikeluarkan esok (Rabu) dan taklimat mengenainya akan dibentangkan kepada ahli parlimen minggu depan.

Beliau berkata, terdapat keperluan melaksanakan pindaan tersebut bagi memastikan privasi dan aspek keselamatan siber terjamin sekali gus, melindungi rakyat daripada risiko kecurian data.

Pihaknya juga akan membentangkan rang undang-undang akta baharu berkaitan perkongsian data yang masih dirangka, pada sesi terakhir Parlimen tahun ini.

"Melangkah ke sidang terakhir tahun ini iaitu bajet, kami mencadangkan untuk membentangkan bil perkongsian data. Jadi, Rang Undang-Undang (RUU) itu sedang digubal dan kami masih melakukan draf. Kami harap kami dapat selesaikannya pada akhir tahun ini."

"Ia penting kerana kita ingin memastikan bahawa kita mempunyai mekanisme yang membolehkan untuk kita berkongsi data, sebab jika kita boleh berkongsi data, kita boleh menggunakannya dengan lebih baik. Maka, itu adalah sebab kenapa kita bergerak ke arah itu."

"Selain itu, kita juga perlu pastikan peraturan itu ada, sebelum ia berlaku dan sudah tentu membabitkan keselamatan. Dengan pindaan PDPA, itu akan menjadikannya lebih kukuh," kata Gobind kepada media selepas mengadakan lawatan ke MACROKIOSK di ibu negara.

Terdahulu, Gobind melawat MACROKIOSK Malaysia, sebuah syarikat platform penyelesaian perusahaan terkemuka di Asia.

MACROKIOSK menawarkan perkhidmatan kepada lebih 5,000 pelanggan dari 37 negara meliputi 24 industri.

Platform penyelesaian perusahaan itu menyediakan kemudahan komunikasi dan pembayaran pelbagai saluran, penglibatan analitik dan pemasaran yang strategik untuk memacu kecekapan komunikasi perniagaan pelanggan, keperluan pembayaran, penglibatan pelanggan dan interaksi pemasaran mengikut permintaan pasaran.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM