
NIBONG TEBAL, 13 Januari – Pihak sekolah diberi amaran keras supaya tidak memotong Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 yang dikhususkan untuk murid.
- Sekolah diingatkan agar tidak memotong Bantuan Awal Persekolahan RM150 yang diperuntukkan untuk murid.
- RM150 mesti diberi sepenuhnya kepada ibu bapa tanpa digunakan untuk tujuan yuran PIBG atau lain-lain.
- Ibu bapa digalakkan membuat aduan kepada Kementerian jika jumlah diterima kurang atau tidak lengkap.
- Bantuan ini adalah peruntukan Kerajaan MADANI khusus untuk persediaan sekolah murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan, bantuan tersebut mestilah diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapa tanpa sebarang alasan, termasuk bagi tujuan pelunasan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Sehubungan itu, beliau mahu ibu bapa menyalurkan aduan kepada Kementerian Pendidikan sekiranya jumlah bantuan tidak mencukupi.
“Ini peringatan yang kita berikan saban tahun. RM150 ini memang Kerajaan MADANI memperuntukan kepada murid-murid untuk persiapan sekolah. Jadi sekiranya ada isu-isu lain, yuran-yuran lain maknanya itu kena diselesaikan dengan cara lain.
“Jadi RM150 ini hanya untuk bantuan persekolahan dan mesti diserahkan dengan jumlah RM150. Sekiranya ada ibu bapa yang tidak menerima RM150 ini, kurang
sepuluh sen ke, kurang RM1 perkara ini perlu dimaklumkan kepada pihak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di sini.
Dalam majlis sama, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang menerima peruntukan kira-kira RM34 juta untuk manfaat lebih 200,000 murid di negeri itu.