PETRA perkukuh kesiapsiagaan banjir menjelang Aidilfitri

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengutamakan kesiapsiagaan operasi pengurusan risiko banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bagi memastikan keselamatan rakyat terus terjamin menjelang perayaan Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan ramalan dan amaran banjir 24 jam menggunakan model di 36 lembangan dengan 1,798 stesen hidrologi telemetri.
  • Jabatan Pengairan keluarkan 64 hebahan ramalan awal dan 39 hebahan amaran banjir hingga kini.
  • 614 siren dan 197 kamera dipasang, dengan 675 pengaktifan siren direkodkan sebagai langkah amaran awal.
  • Kerjasama dengan SKMM dan syarikat telekomunikasi salurkan amaran SMS; orang awam disaran guna Public Infobanjir dan MyPublicInfoBanjir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim MTL yang bermula November 2025 dan dijangka berakhir Mac ini.

“Sehingga 17 Mac 2026, sebanyak 745 kejadian banjir telah direkodkan di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Putrajaya,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut PETRA, pemantauan operasi ramalan dan amaran banjir dilaksanakan 24 jam sehari sepanjang tahun menggunakan model ramalan di 36 lembangan sungai, disokong 1,798 stesen hidrologi telemetri yang merekodkan data hujan dan aras air sungai.

“Sehingga kini, sebanyak 64 hebahan ramalan awal banjir dan 39 hebahan amaran banjir telah dikeluarkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebanyak 614 siren amaran banjir turut dipasang di lokasi strategik di seluruh negara bersama 197 kamera pemantauan bagi membantu pemantauan situasi semasa, dengan 675 pengaktifan siren direkodkan setakat 16 Mac lepas sebagai langkah amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko.

PETRA turut memaklumkan sebanyak 3,682 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan rekod kejadian sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun, dengan Pahang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 760 lokasi, diikuti Kelantan (618) dan Sabah (517).

Menurut kenyataan itu, sebanyak 606 pam mudah alih pelbagai kapasiti, 1,079 pintu kawalan air serta 285 rumah pam berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan sekiranya diperlukan.

Pemantauan turut dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS, 761 kolam takungan banjir serta kerja penyelenggaraan berjadual di lembangan sungai berisiko tinggi.

Dalam pada itu, kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi dilaksanakan bagi menyalurkan hebahan amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan berisiko.

Orang awam disaran mengikuti maklumat ramalan dan amaran banjir yang dikeluarkan secara rasmi oleh JPS melalui laman web Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir.