SEPANG, 4 Oktober - Peserta Global Sumud Flotilla dipaksa melutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip nilon (zip tie) selama kira-kira lima jam selain dinafikan akses asas termasuk air, tandas dan ubat-ubatan ketika ditahan tentera rejim Israel.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby yang memaklumkan tahanan dibuat selepas sebahagian aktivis melaungkan slogan “Bebaskan Palestine” .
Katanya, seramai 23 aktivis Malaysia kini ditempatkan di Penjara Ketziot, Israel, dengan peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab (ADALAH) sudah berhubung dengan 20 daripadanya manakala tiga lagi peserta akan diuruskan dalam masa terdekat.
“Kesemua mereka telah dinasihatkan supaya menandatangani borang ‘Request for Immediate Departure’ oleh pihak peguam.
"SNCC bersama kerajaan Malaysia kini berada dalam keadaan siap siaga untuk membawa pulang delegasi Malaysia sebaik menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama rundingan diplomatik,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, misi flotilla itu turut membawa barangan bantuan kemanusiaan seperti beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan yang kini dipercayai masih berada di atas kapal yang dirampas Israel.
SNCC turut menggesa rakyat Malaysia meneruskan sokongan kepada delegasi misi flotilla berkenaan selain menunaikan solat hajat serta doa Qunut Nazilah agar koridor kemanusiaan Gaza segera dibuka.