KUANTAN, 7 November -- Kerajaan Pahang memperluas bantuan Program Tunas Makmur 2025 kepada 21,026 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.05 juta.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan berupa set barangan persekolahan itu akan diagihkan mulai minggu depan oleh Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP).
Beliau turut memaklumkan, pengagihan bantuan berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan agensi berkaitan bagi memastikan proses itu berjalan lancar serta sampai kepada semua penerima layak di seluruh negeri itu.
Menurutnya, sebelum ini pelajar SPM sudah menerima Kad Diskaun Pelajar yang menawarkan potongan harga sehingga 30%, selain buku rujukan dan latihan percuma untuk persediaan menghadapi peperiksaan, serta peralatan persekolahan khusus bagi pelajar Tingkatan Lima dalam kategori miskin tegar.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan ilmu pengetahuan serta kejayaan akademik anak-anak Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Seri Wan Rosdy yakin usaha berterusan bersama kerjasama pelbagai pihak, khususnya dalam memperkukuh aspek pendidikan, akan terus memacu Pahang sebagai negeri yang makmur dan berilmu.