fb fb fb fb fb

MIHAS@Shanghai 2025 mampu capai sasaran jualan RM3 bilion

Foto RTM

SHANGHAI, 7 November - Jualan sebanyak RM1.24 bilion berjaya dicatatkan sepanjang tiga hari berlangsungnya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Shanghai 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun optimis sasaran nilai jualan keseluruhan sebanyak RM3 bilion, mampu dicapai.

"Pencapaian ini diperolehi melalui tiga komponen utama, iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bernilai RM651.8 juta, pameran RM271 juta, dan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM315.Manakala 43% daripada hasil jualan adalah dalam kategori produk sedia dimakan (RTE)," katanya.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, jumlah itu turut meliputi 16% Produk Berasaskan Sawit, Produk Minuman 12% dan Produk Agrikultur sebanyak 10%, termasuk 5% dalam perkhidmatan Kewangan Islam.

Beliau berkata demikian sidang media di akhir lawatan kerja selama empat hari ke China di sini.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM3 bilion dapat dicapai di Shanghai, berbanding RM2.2 bilion pencapaian direkodkan di Dubai, pada tahun lalu.

Jelasnya, sasaran itu mampu dicapai menerusi sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan pembeli yang hadir pada pameran tersebut.

MIHAS@Shanghai yang berlangsung dari 5 hingga 10 November menampilkan 250 syarikat tempatan merangkumi sektor utama seperti makanan dan minuman, produk pertanian, barangan pengguna pantas (FMCG), peralatan perubatan dan penjagaan kesihatan, serta perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

EZA YUSMAWATI YAACOP