fb fb fb fb fb

'GSF bukan lanun! Mereka bawa bantuan makanan, perubatan'

Sebuah kapal tentera laut Israel mengiringi kapal Global Sumud Flotilla ke Pelabuhan Ashdod, selepas Israel memintas beberapa kapal flotilla yang cuba menuju ke Gaza pada 2 Oktober/Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Dunia diminta terus bersatu dan bangkit memperjuangkan hak perundangan yang dicabuli Israel secara terang-terangan, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad.

Menurut beliau, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) juga harus bertegas mendesak Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa kerana tindakan memintas kapal Global Sumud Flotila (GSF) di perairan antarabangsa merupakan satu jenayah.

Beliau menyifatkan tindakan rejim zionis itu jelas biadap kerana tidak mematuhi undang-undang antarabangsa.

"Perairan antarabangsa itu boleh digunakan secara bebas kerana bernaung di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Kawasan tersebut tidak boleh diambil tindakan sewenangnya kerana lautan bebas setiap orang berhak lalu kecuali lanun.

"GSF bukan lanun kerana hanya membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan. Cara dia mudah sama ada Israel disingkirkan sahaja ataupun undang-undang tersebut diubah.

"Bagaimanapun untuk mengubah undang-undang tidak mudah. Undang-undang bersifat komprehensif dan kompleks, tetapi kredibilitinya tercalar apabila rejim zionis bertindak biadap seperti itu ," katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri hari ini.

Tambahnya, PBB harus bertegas untuk memperjuang hak perundangan antarabangsa yang dicabuli Israel.

Katanya, Malaysia kini bukan sahaja harus berdiri teguh memperjuangkan hak asasi manusia tetapi mempunyai tanggungjawab baharu untuk memperjuangkan kredibiliti perundangan antarabangsa.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN