fb fb fb fb fb

Cadangan gabung bina benteng kurangkan risiko banjir

Foto RTM

TAIPING, 4 Oktober - Cadangan menggabungkan pembinaan benteng banjir di kawasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dengan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Sama Gagah bertujuan melindungi lebih banyak kawasan di utara Perak.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, gabungan itu dijangka memberi kesan lebih menyeluruh dan membantu mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di daerah Kerian dan kawasan sekitarnya.

"Ke arah itu, kerajaan memerlukan tambahan peruntukan melebihi RM400 juta yang akan ditentukan dalam Rancangan Malaysia ke-13.

"Kita sedang menunggu kelulusan peruntukan ini. Jika tidak, kita akan laksanakan secara berperingkat dengan projek sedia ada," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok, di sini.

Mengulas kejadian banjir di Taiping, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan, hujan lebat berterusan menjadi punca utama beberapa kawasan dinaiki air termasuk lokasi yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini.

"Jabatan Pengairan dan Saliran sedang meneliti laporan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar termasuk mendapan di muara sungai," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah dijangka bermula tahun depan selepas dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN