fb fb fb fb fb

GSF: Kedutaan Malaysia siap sedia bantu bawa pulang aktivis

Foto RTM

SEPANG, 4 Oktober - Kedutaan Malaysia termasuk di Turkiye dan Jordan bersiap sedia sekiranya aktivis Malaysia dibawa keluar daripada tahanan rejim Israel melalui mana-mana pintu sempadan. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan ketika ini rundingan masih berlangsung dibantu kerajaan Turkiye dan Jordan yang turut berusaha membebaskan rakyat mereka.

"Tiada komunikasi secara terus yang berlaku antara kerajaan Malaysia dan rejim Israel kerana tiada hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak,"

"Kedutaan kita di negara terlibat sudah bersedia dan berjaga-jaga untuk membantu rakyat kita (yang ditahan Israel) untuk dibawa pulang dari mana-mana pintu sempadan," jelasnya dalam satu sidang media yang berlangsung di sini.

Beliau turut memaklumkan negara anggota ASEAN yang mempunyai kedutaan di Israel juga memberi bantuan konsular kepada rakyat Malaysia terlibat.

"Kerajaan Malaysia sentiasa berhubung rapat dengan negara-negara berkenaan untuk mengikuti perkembangan semasa," ujar beliau.

Datuk Seri Mohamad pada masa sama mengesahkan kesemua rakyat Malaysia yang ditahan dalam keadaan sihat dan stabil.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN