23 aktivis Malaysia ditahan di Penjara Ketziot, kerajaan siap sedia bawa pulang

KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Seramai 23 aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel kini ditempatkan di Penjara Ketziot, Israel, dan dinasihatkan supaya menandatangani borang ‘Request for Immediate Departure’.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) telah berhubung dengan 20 aktivis Malaysia, manakala tiga lagi peserta akan diuruskan dalam masa terdekat.

Beliau memaklumkan, pihak SNCC dan kerajaan Malaysia kini bersiap sedia membawa pulang kesemua delegasi Malaysia, sebaik menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik dengan Israel.

“Dalam keadaan siap sedia, kita menunggu arahan untuk melaksanakan operasi membawa pulang 23 delegasi Malaysia seperti dimaklumkan Perdana Menteri semalam.

“SNCC sentiasa berhubung dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, selain itu Wisma Putra akan memastikan usaha pembebasan ini digerakkan secara maksimum.

“Kita berharap rakyat Malaysia teruskan momentum sokongan dan doa Qunut Nazilah. Inilah titik paling sukar untuk membebaskan delegasi, namun ia juga telah membangkitkan kesedaran dunia sejak hari pertama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut mendedahkan para aktivis flotila dipaksa melutut dengan digari tali zip nilon (zip tie) selama kira-kira lima jam selepas sebahagian daripada mereka melaungkan slogan “Free Palestine”.

Beliau berkata, para aktivis itu turut dinafikan akses asas termasuk bekalan air, tandas dan ubat-ubatan sepanjang dalam tahanan.