fb fb fb fb fb

23 rakyat Malaysia GSF dijangka diterbangkan dalam tempoh 48 jam

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memberikan taklimat keadaan terkini rakyat Malaysia yang ditahan pada sidang media di SNCC

SEPANG, 3 Oktober – Kesemua 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel, dijangka diterbangkan dari Ashdod dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pihaknya melalui wakil perundangan di Ashdod telah berhubung dengan semua delegasi dan memberi jaminan mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat.

"InsyaAllah dijangka dengan usaha yang telah dilaksana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penaung, Sumut Nusantara dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Sumut Nusantara Command Centre menjangkakan fasa untuk menerbangkan mereka daripada Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi," katanya.

Beliau turut mengesahkan kapal peninjau Observer Syirin yang menyediakan khidmat keselamatan dan perubatan kepada peserta flotilla telah selamat berlabuh di Pelabuhan Piraeus, Cyprus pada 3.40 petang waktu Malaysia. 

Kapal itu telah mengiringi flotilla sejak awal pelayaran hingga ke penghujung misi.

Dalam pada itu, Datuk Sany turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas keprihatinan Baginda terhadap keselamatan delegasi Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus berdoa dan menunjukkan solidariti, menzahirkan Malaysia kekal bersama Gaza sehingga Palestin mencapai kemerdekaan.

Terdahulu, keluarga kepada 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF itu telah dibawa ke SNCC petang tadi, untuk menghadiri sesi taklimat rasmi berhubung perkembangan terkini tahanan di Israel.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ