fb fb fb fb fb

Pesalah cemar Sungai Kim Kim wajar didenda RM10 juta - Exco Johor

Petugas 5E Resources Sdn Bhd mengambil sampel tanah bagi memeriksa tahap udara, air, dan tanah di Sungai Kim Kim/FOTO BERNAMA

JOHOR BAHRU, 6 Disember - Kerajaan pusat perlu meningkatkan kadar denda dan penjara kepada pesalah yang terlibat dengan pencemaran alam sekitar, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar.

Beliau berkata demikian susulan hukuman seorang pemandu lori mencemarkan Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang pada 2019 yang disifatkan terlalu ringan dan tidak berbaloi.

Katanya, hukuman setimpal harus dikenakan kerana perbuatan individu tersebut telah menjejaskan kesihatan rakyat dan jutaan wang kerajaan.

"Kita perlu tingkatkan hukuman membabitkan kes seperti ini, tingkatkan jumlah denda sehingga RM5 juta atau RM10 juta. Berikan hukuman penjara atau khidmat komuniti sekali, barulah pihak terbabit tidak akan mengulangi atau cuba melakukan pencemaran alam sekitar.

"Kita tidak menyalahkan mahkamah, namun perlu lihat semula akta dan denda ditetapkan kerana kerajaan negeri dan Persekutuan telah berbelanja banyak untuk perbetulkan keadaan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.

Raven menambah, kerajaan negeri juga akan membantu memudahkan urusan saman kepada pelaku sekiranya ia dibuat berlandaskan undang-undang.

"Namun pada akhirnya sebagai pengerusi jawatankuasa alam sekitar saya mengharapkan penalti tu kena tinggi. Mesti kena tinggi, tidak boleh rendah. Itu baru adil," katanya.

Pada 30 November lalu, seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan, N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

Susulan hukuman tersebut, kerajaan Johor membuat rayuan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi penilaian semula hukuman denda yang dikenakan kepada pesalah tragedi yang menjejaskan 2,000 orang serta mengakibatkan 947 orang dirawat.

Sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Insiden pencemaran Sungai Kim Kim telah menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup .

GRACE AISYAH KEDAYAN