
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Perwakilan Diplomatik Malaysia perlu terus memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara, khususnya dalam menarik perdagangan, pelaburan berkualiti tinggi serta meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.
- Diplomat perlu lebih daripada penguasaan protokol; memahami sejarah, budaya, sistem politik dan nuansa masyarakat setempat.
- Berterusan membimbing dan memperkasa diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran dan kemampuan menghadapi geopolitik serta ekonomi global yang kompleks.
- Menegakkan prinsip kesederhanaan, kestabilan dan tadbir urus baik dalam dasar luar negara.
- Mengamalkan diplomasi berteraskan kebijaksanaan serta nilai kemanusiaan sejagat dalam menyuarakan kepentingan negara di pentas antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook memaklumkan, perkara itu ditekankan ketika menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal menggalas amanah negara di pelbagai rantau strategik dunia.
“Saya turut menyentuh bahawa peranan seorang diplomat menuntut lebih daripada sekadar penguasaan protokol dan hubungan rasmi antara negara hatta memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta nuansa masyarakat setempat agar setiap bentuk keterlibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna.
“Usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi diplomat muda juga penting bagi memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran serta kemampuan mendepani geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar dan kompleks ketika ini,” menurut hantaran itu.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan, kestabilan, tadbir urus yang baik serta pendekatan diplomasi berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia.