fb fb fb fb fb

Peruntukan RM400,000 diluluskan, selenggara fasiliti MRSM Terendak

Foto Facebook Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

AYER KEROH, 27 September- Majlis Amanah Rakyat (MARA) meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk menyelenggara pelbagai fasiliti di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan perkara itu menerusi lawatan beliau ke MRSM berusia lebih 40 tahun itu.

"Sebab itu dalam konteks ini saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk MARA mmberikan keutamaan untuk menaik taraf terutama fasilkiti asas seperti tandas, bilik wuduk yang tidak boleh digunakan langsung.

"Jadi saya rasa perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Saya akan mengambil serius berkenaan perkara ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET @KKDW 2024 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di MITC di sini.

Pada masa sama beliau juga mengambil maklum berkenaan ancaman monyet liar di MRSM Terendak dan Kem Terendak.

Dalam pada itu siasatan secara terperinci akan dilakukan berhubung isu keracunan makanan melibatkan 48 daripada 633 pelajar MRSM itu.

Asyraf berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana sebelum ini ia juga pernah berlaku di beberapa MRSM lain dan kompaun serta merta dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri.

"Cuma buat masa ini belum dikenal pasti lagi, sebab peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat siasatan berkenaan punca sebenar.

"...boleh jadi dewan makan atau makanan berbungkus dari koperasi. Tetapi sudah tentulah perkara ini akan diberi perhatian serius," katanya lagi.

Bagaimanapun beliau turut memaklumkan bahawa setiap MRSM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi setiap penyelia asrama termasuk pengetua.

Selain itu pemantauan berterusan terhadap dapur serta menu yang dihidangkan kepada para pelajar termasuk SOP lain juga perlu dilakukan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI